Saturday, December 12, 2015

GENTING BACK TO NATURE RETREAT 2015 ( ECO RETREAT )


Baru-baru ini Genting Resorts World telah menganjurkan acara Back To Nature Retreat 2015. Acara yang memupuk kesedaran dan menghargai alam sekitar ini merupakan acara tahunan yang membuktikan syarikat besar dan berpengaruh ini melalui komuniti prihatin mereka benar-benar serius dalam pengekalan kehijauan dan kelasterian hutan yang bukan sahaja menjadi payung alam sekitar kita, malah warisan berharga yang akan diwariskan pada generasi kita yang akan datang.

Acara bermula dengan pendaftaran para media dan peserta, kemudian taklimat langkah-langkah keselamatan yang dikendalikan oleh renjer yang berpengalaman. Melalui sesi ini para peserta yang berjumlah lebih kurang 200 yang terdiri dari para pelajar disekitar Pahang dan para media telah diberi penerangan mengenai hutan disekitar Genting yang berusia lebih 130 ribu tahun dan hutan hujan ini memiliki nilai bio-diversiti yang sangat bernilai dengan tumbuh-tumbuhan, pokok-pokok dan juga hidupan liar dari pada sekecil-kecil cacing, ulat, semut, serangga dan pelbagai jenis burung sehinggalah haiwan besar. Para peserta diingatkan agar tidak mematahkan tumbuhan dan memetik tumbuhan untuk mengekalkan kehijauan dan keindahan tumbuhan asli di dalam hutan tersebut. 

Para peserta telah dibawa berjalan di dalam hutan melalui jalan denai, bukit-bukau dan merentasi anak-anak sungai sejauh 1.8km dengan diteman dan diselia oleh para Renjer yang telah mahir mengenai jalan dan hutan tersebut. Hutan yang terdapat disekitar Genting benar-benar asli yang mana jalan-jalan yang dilalui oleh para peserta bukan jalan yang telah diterokai dengan elok dimana para peserta terpaksa menunduk dan mencelah serta ada kalanya terpaksa merangkak kerana laluan dihalang oleh pokok besar yang telah tumbang.

Selepas acara merentas hutan sejauh 1.8km, para peserta telah dihidangkan dengan makan tengahari yang lazat. Selepas berehat dan menikmati hidangan tengahari, acara seterusnya adalah ketibaan dan perasmian yang telah dilakukan oleh YB Datin Paduka Chew dan seterusnya ucapan dari wakil Genting Resorts World. Dalam ucapan YB Datin Paduka Chew, beliau telah menekankan betapa pentingnya menjaga alam sekitar dan mengekalkan kehijauan persekitaran kita. Amanat dari beliau benar-benar dihayati oleh para pelajar yang turut serta kerana mereka telah merasai pengalaman merentasi hutan dan menginap di rumah panjang Genting Awana selama acara berlangsung. 

Acara selama dua hari satu malam ini telah diatur sebaiknya dengan aktiviti yang padat antaranya selain acara merentas hutan, ada acara penerangan mengenai Alam Sekitar, pertandingan fesyen bertemakan bahan-bahan terpakai dan tumbuhan serta acara Treasure Hunt dimana setiap peserta dipecahkan kepada 7 kumpulan dan setiap acara dibuat dalam bentuk pertandingan dan ada hadiah disediakan. Walaupun banyak hadiah yang telah disediakan oleh pihak penganjur tapi kesimpulannya bukan hadiah yang dikejar tapi pengalaman, ilmu yang didapati dari acara ini serta semangat berkumpulan dan juga peluang bermesra dan mendekati alam sekitar adalah hadiah teramat besar nilainya buat para peserta yang terlibat. Tahniah pada penganjur iaitu RWG dan juga  PR Team RWG kerana telah berjaya menganjurkan sebuah acara yang berskala besar dan bermanfaat seperti ini. Sekalung budi buat PR Team Genting Resorts World.










1 comment:

Ellie Toh said...

Catwalk kat hutan ni best. Hahahahahaaaaaaa....terasa macam tiger. 😆

KLIK KAT SINI KALAU NAK EXTRA MONEY.