Baru-baru ini kami para Media dan Bloggers telah dijemput oleh Tourism Malaysia Selangor untuk merasai sendiri pengalaman bercuti dan beriadah di salah satu destinasi percutian yang istimewa yang terdapat di Hulu Selangor. Program serampang dua mata ini dikira satu langkah yang baik agar kami dapat menulis berdasarkan pengalaman yang kami rasai sendiri di Kalumpang Resort & Training Center. Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Kalumpang Resort & Training Center mengambil masa lebih kurang satu jam setengah. Setibanya kami di sana, kami telah dibawa ke padang dimana berlangsungnya majlis pelepasan Kalumpang Rainforest Jungle Run 2015. Selepas larian dimulakan kami telah dibawa ke beberapa Check Point dengan menaiki 4 X 4 atau kenderaan pacuan empat roda yang lasak melalui denai dan bukit yang agak curam dimana antara menjadi laluan para peserta larian.
Usai majlis penyampaian hadiah, kami telah dibawa menikmati hidangan tengahari dipondok yang cantik berhadapan dengan sungai. Pengalaman menikmati hidangan tengahari diiringi bunyi kocakkan air sungai dan hembusan angin sepoi-sepoi bahasa menambahkan lagi selera kami menikmati juadah yang sangat lazat dengan himpunan makanan ala-ala kampung antaranya ulam-ulaman, sambal belacan, ayam goreng dan lauk utama hari pertama ini adalah Ikan Patin Tempoyak.
Selepas check in di bilik / chalet comel yang indah, kami berehat sebentar di dalam bilik / chalet yang kesemuanya diberi nama burung. Pada sebelah petang, kami dibawa mandi-manda disungai yang airnya sejuk dan jernih. Kemudian kami dibawa merasai pengalaman bermain Tiubing yang diketuai dan diawasi oleh Marshal di resort ini. Sebelum memulakan aktiviti Tiubing, kami telah diberi taklimat antaranya langkah-langkah keselamatan dan cara-cara memakai dan mengendalikan Tiubing. Kami juga diberi jaket keselamatan dan topi keledar untuk melindungi kepala dari terhantuk batu. Memang sungguh seronok bermain Tuibing menyelusuri air sungai yang deras. Selepas mandi-manda, kami dihidangkan dengan minuman petang yang sangat lazat.
Aktiviti sebelah malam pula adalah BBQ dan selepas menikmati hidangan makan malam yang lazat itu, pihak penganjur telah menyediakan cabutan bertuah dan sesi Karaoke sambil beramah mesra dan berkenal-kenalan antara media, pihak Kalumpang Resort dan Tourism Malaysia Selangor.
Pada hari kedua di Kalumpang Resort & Training Center pula selapas sarapan pagi, kami telah dibawa oleh Renjer resort ini menaiki kenderaan lasak pacuan empat roda melalui kawasan hutan yang berbukit-bukau dan berliku. Memang satu pengalaman yang mengujakan ibarat menaiki roller coaster ataupun menunggang kuda liar. Selepas itu kami dibawa melawat ke tapak Water Park yang masih dalam pembinaan. Selepas diberi taklimat mengenai perancangan Taman Tema Air di situ, kami kemuadian dibawa melawat ke Pasir Putih Resort yang juga milik Kalumpang Resort & Training Center. Pasir putih Resort menjadi pilihan perkemahan dan kembina semangat,
Selepas melawat beberapa kawasan, kami telah dibawa kembali ke Kalumpang Resort & Training Center untuk melawat beberapa jenis chalet yang ditawarkan di sini. Kemudian kami dibawa menikmati makan tengahari di pondok ala-ala pangkin. Seronok makan beramai-ramai dengan hidangan ala-ala kampung juga tapi untuk kali ini adalah Sup Kalumpang dan Sambal Maut. Memang terbaik dan berdesing telinga bila makan Sambal maut tapi kerana sedap, kami belasah saja.
Sebelum meninggalkan Kalumpang Resort & Training Center, pihak penganjur telah mengadakan sesi bertukar idea dan pendapat mengenai pusat pelancongan ini. Segalanya berjalan dengan baik dan pengalaman dari hati ke hati ini diharap dapat membantu menaik taraf resort ini dan membantu mempromosikan tempat ini sebagai destinasi pelancongan kerana selain aktiviti mandi-manda, ada juga kem bina semangat, perkemahan, jungle tracking, Flying Fox, Tuibing dan pelbagai lagi. Majlis diakhiri dengan acara penyampaian sijil. Semasa dalam perjalanan untuk balik ke Kuala Lumpur, kami telah dibawa ke Kuala Kubu Bharu untuk merasai sendiri kelazatan Asam Pedas KK.B. Ternyata program sebegini dapat membuat kami menulis dengan lebih realistik dan terperinci mengenai destinasi percutian yang ada di Selangor. Tahniah diucapkan kepada team Tourism Malaysia Selangor atau TM Sel kerana berjaya mengadakan dan mengendalikan program ini dengan lancar dan jayanya.
No comments:
Post a Comment